Apr 30, 2011

Lantera

Panas terik
seterik dosa
mengharap teduhanNya

*******

Hidung berdarah
ditarik-tarik pedih
sepedih dosa
ditarik keluar

*******

umrah ke 4 tertunai sudah
mengharap pahala
disimpan Allah
4 hari berbaki, akan kuisi
dengan bererti

aku tak mahu rugi
mahu rebut pahala
di tempat tersuci

*******

di depan kaabah
selama ini memuji
Tuhan arasy
tika ini ku puji
di depan Nya sendiri

apa lagi yang ku cari
cerita Al-Quran telah ku saksi
bakinya menunggu
dia akhirat nanti

ko doakan
jemaah yang berhimpun di masjid ini
akan kutemui lagi
di syurga nanti
kawanan burung di atas ini
kembali menyanyi
di syurga abadi

wanita tua yang membawa sejag air dan sesusun cawan
mengedarkan roti dan air
pantang melihat jemaah resah
ku doakan
mak cik kerudung hitam ini
terus berbakti
di syurga nanti

selsema yang belum kering
batuk yang menghentak-hentak keronkongku
seolah-olah dosa
yang belum habis keluar
sehingga ku kosongkan hati
hanya untuk-Nya

pesan kak cahaya menembus jiwa
duduk dengannya seperti dua jiwa berkata-kata
'cinta manusia letak di kepala, bukan dihati'
dan aku menambah
kerana hati itu hanya untuk Allah
meletakkan selainNya maka meranalah jiwa
mengeluarkan cinta manusia sakit tak terhingga
dlm hati ku sambung lagi
kerana itu bukan tempatnya

ku membawa doa-doa keluarga dan teman
dengan penuh harap
ku ucap di depan kaabah
dengan hina
aku yang berlumpur dosa
mengharap malaikat mengaminkan dan berkata
begitu jua untukmu

saat menjejak kaki ke raudhah
air mataku pecah
aku mahu bangkit di syurga
bersama rasul dan para solehin tercinta
moga
doaku ini
menjadi pengingat
bila ku alpa

bas bergerak perlahan menghampiri masjid nabawi
dan mutawif seraya berkata
Assalamualaikum Ya Rasulullah warahmatullahi wabarakatuh
Nabi, aku datang, aku datang, aku datang
air mataku tak terbendung lagi...

bersesak di hijir ismail
kepala ditolak
ku tetap tak berganjak

kepala ligat persoal
aku lupa akal ku baru dicipta
sedangkan rohku memahami segalanya
ku mohon
rohku kembali lagi ke sini
sebagai tetamu haji

*********

ku pohon dijauhkan dari sahibussu'
Allah kurniakan Fika untukku
dan ibunya untuk ibuku

ku biarkan ibu jalan seorang-seorang
natijahnya seliparku hilang
ku sedar salahku ini
tak boleh diulang